KUANTAN: Sekurang-kurangnya 563 kompaun bernilai RM936,500 dikeluarkan di daerah ini atas kesalahan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sepanjang 1 Januari sehingga 18 November lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus berkata, daripada jumlah itu, kesalahan yang kerap dilakukan ialah kegagalan mengimbas aplikasi MySejahtera iaitu 227 kes.
Menurutnya, kesalahan lain ialah 151 kes tidak memakai pelitup muka dan 67 kes kegagalan melaksanakan penjarakan fizikal.
“Baki 118 kes iaitu lain-lain kesalahan pematuhan SOP mengikut Akta 342 termasuk kegagalan membuat imbasan suhu.
“Ia termasuk kegagalan melakukan sanitasi premis dan memastikan pelanggan mempunyai vaksinasi lengkap,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Justeru, katanya, JKN Pahang meminta kerjasama setiap individu supaya meningkatkan kesedaran kendiri dalam pematuhan SOP bagi memastikan tiada lagi gelombang peningkatan kes Covid-19. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN