KUANTAN: Tourism Pahang mencadangkan agensi pelancongan supaya menganjurkan lebih banyak pakej aktiviti sukan luncur ombak di destinasi menarik dan bersesuaian di seluruh negara.



Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali, berkata langkah berkenaan bukan sahaja dapat merancakkan lagi sukan ekstrem itu, malah pada masa sama dapat mempromosikan destinasi pelancongan negara.
“Langkah ini juga dapat memberi pilihan kepada penggemar sukan luncur ombak memilih destinasi bersesuaian dengan kehendak dan citarasa mereka.
“Melalui pakej ini, pelancong dari dalam dan luar negara berpeluang menerokai lebih banyak lokasi luncur ombak di seluruh Malaysia,” katanya.
Beliau yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata demikian sebelum merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah ‘Cherating Surf Festival 2022’ di Pantai Cherating dekat sini, hari ini.
Cherating Surf Festival 2022 adalah acara sukan luncur ombak pertama dianjurkan Cherating Surf Club dan acara ketiga dalam kalendar pelancongan Pahang.
Festival itu mendapat sokongan dan tajaan antaranya daripada Tourism Pahang, Persatuan Luncur Ombak Malaysia dan Rip Curl serta menarik penyertaan 126 peserta dari seluruh Malaysia. – HELMY ABD RAHMAN