KUANTAN: ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) menasihati pengguna lebuh raya merancang perjalanan memandangkan hujan lebat dijangka melanda kawasan Pantai Timur, minggu ini.
Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata pihaknya juga sentiasa memantau paras air di sekitar kawasan laluan utama.
Menurutnya, walaupun laluan masih selamat pada masa ini, pihaknya akan terus mengemas kini maklumat terkini melalui rangkaian media sosial ANIH.
“Ketika ini, paras air di semua kawasan di sepanjang KLK dan LPT 1 berada dalam keadaan selamat dan syarikat sedang giat mengambil langkah untuk memastikan keadaan kekal terurus.
“ANIH ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kami sentiasa dalam keadaan bersedia dan komited untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya kami kekal sebagai keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Untuk maklumat lanjut, sahih dan terkini, orang ramai boleh melayari laman rasmi media sosial Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi Hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT-Line di 09 5479111/ 1-700-818-700.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN