Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
PEKAN: Semangat menebal untuk membantu mangsa banjir menjadi pendorong kuat untuk mengharungi perjalanan sejauh 35 kilometer menggunakan pacuan empat roda meredah banjir untuk sampai di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Pengurus Gerbang Muhibbah Enterprise, Datuk Mohd Mazri Mahmud berkata, perasaan takut dan bimbang mengharungi arus deras hingga mencapai kedalaman lebih tiga meter.
Katanya, bantuan yang dihantar kepada lima PPS membabitkan 100 kampit beras dan masing-masing 100 kilogram minyak masak dan gula yang disumbangkan Gerbang Muhibbah Enterprise dan beberapa penderma lain.
“Sebanyak 50 kotak mi segera dan 200 kotak biskut turut diagihkan sebagai tanda prihatin terhadap mangsa banjir yang sudah lebih seminggu berada di PPS selepas rumah masing-masing ditenggelami banjir.
“Sokongan yang diberikan ketua kampung, masyarakat setempat danJabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pekan melancarkan lagi agihan kepada PPS,” katanya di sini.
Katanya, seramai 10 rakannya termasuk isteri dan anaknya turut terbabit sama membantu menghantar bantuan menggunakan bot gentian kaca milik penduduk tempatan.
Tambahnya lagi, keadaan banjir di daerah ini pada tahap sederhana berbanding 2014 yang menyebabkan banyak rumah ditenggelami air sehingga paras atap, banyak kerosakan berlaku dan kehilangan nyawa ketika itu.
“Saya menghantar bantuan ke lima PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Mutiara, SK Temai, Dewan Orang Ramai Padang Rumbia, Dewan Kampung Salong dan Balai raya Kampung Ganchong.
“Sebelum ini saya juga memberi bantuan keperluan asas kepada golongan yang terkesan disebabkan wabak Covid-19 melanda daerah ini,” katanya.
Mohd Mazri berkata, pihaknya akan berusaha menyediakan bantuan tambahan kepada mangsa di daerah ini sekiranya keadaan banjir berlarutan akibat fenomena air termenung berlaku selepas ini.
Mangsa banjir, Abdul Kadir Awang Kechik, 73, berkata dia bersama isteri, Rabiah Bakar, seorang anak serta cucu berada di PPS SK Temai sejak Isnin lalu. Setiap kali banjir kami sekeluarga pasti berpindah.
“Kedudukan rumah yang hampir dengan Sungai Pahang menjadi faktor utama banjir mudah berlaku di Kampung Temai. Banjir kali ini mencapai kedalaman lebih dua meter.
“Walaupun tidak selesa tinggal di PPS dalam tempoh yang lama namun kami terpaksa mengikut arahan pihak berkuasa,” katanya.