KUANTAN: Semua 571 struktur pemancar komunikasi yang terjejas kerana banjir kini pulih sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, komitmen semua berjaya mempercepatkan pemulihan semua pemancar itu.
“Meskipun kita dapat lihat banyak lokasi banjir yang sudah semakin reda, kita perlu sentiasa bersedia memastikan agar sistem perhubungan mudah alih di Pahang dalam keadaan siap siaga.
“Oleh itu, usaha sedang dijalankan di antara Kerajaan Pahang, SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) dan syarikat telekomunikasi untuk membina platform struktur pemancar yang lebih tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, berdasarkan laporan SKMM, 14 lokasi struktur pemancar tenggelam akibat banjir kali ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN