KUANTAN: Semua masjid dan surau di Pahang dibenarkan melaksanakan solat berjemaah dengan merapatkan saf tanpa perlu penjarakan fizikal antara jemaah, bermula esok, 1 April 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kebenaran itu membabitkan solat lima waktu, Jumaat dan tarawih mengikut bentangan sejadah.
Katanya, keputusan itu selepas mendapat perkenan KDYMM Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Ini juga sesuai dengan saranan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan kebenaran merapatkan saf berkuatkuasa 1 April ini,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Semalam, kerajaan negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Covid-19 Pahang memutuskan memberi kebenaran solat tarawih 20 rakaat di masjid dan surau di seluruh negeri.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN