Rara akui kesilapan, minta maaf cemar imej DUN Pahang

Rara akui kesilapan, minta maaf cemar imej DUN Pahang

Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari daripada DAP, Young Shefura Othman, hari ini, memohon maaf kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Saya dengan ini ingin meminta maaf jika kesalahan saya melanggar SOP PKPB memberi nama kurang baik kepada DUN Pahang.
“Siasatan polis baru selesai dan saya baru dikhabarkan oleh pihak polis bahawa saya perlu membayar kompaun sebanyak RM1,000,” katanya sebelum mengakhiri gilirannya berucap pada sesi Perbahasan Belanjawan 2021 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sebelum ini, ADUN DAP itu memohon maaf selepas dikatakan melanggar SOP PKPB susulan satu gambarnya di Instagram menunjukkan beliau menyambut majlis ulang tahun kelahiran di satu lokasi di Selangor tanpa memakai pelitup muka dan penjarakkan fizikal.
Bagaimanapun, gambar di Instagram beliau bersama empat rakannya yang mendapat kecaman netizen, sudah dipadamkan.
Terdahulu dalam ucapan perbahasannya, beliau mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kerana berjaya membentangkan Belanjawan Pahang 2021.
“Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pahang kerana sedaya upaya untuk membendung penularan pandemik COVID-19 dan sehingga semalam mencatatkan sifar kes.
“Selain itu, saya menyokong peningkatan bantuan am kerajaan negeri melalui JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) daripada RM300 kepada RM350 sebulan dan sumbangan secara ‘one-off’ sebanyak RM250 ringgit diperuntukkan kepada setiap peserta e-Kasih miskin tegar seramai 1,594 orang.
“Ini sudah tentulah meringankan kos sara hidup dan memberi jaringan keselamatan kepada penerima yang memerlukan. Sebagaimana kita semua maklum, pandemik Covid-19 banyak mengubah keadaan ekonomi rakyat termasuk rakyat Pahang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan negeri dapat menambah baik peruntukan belanjawan itu terutama dari segi pertolongan kepada rakyat yang terjejas akibat COVID-19.
“Isu pekerjaan dan pendapatan adalah satu kebimbangan rakyat pada tahun 2021. Bukan sahaja kepada mereka yang hilang pekerjaan atau mahasiswa yang baru habis belajar, namun termasuklah yang masih bekerja tapi takut sekiranya akan hilang kerja.
“Jika kerajaan negeri hanya mengharapkan dan bergantung kepada penjanaan peluang pekerjaan melalui kemasukan pelaburan ke dalam negeri Pahang, situasi terkini amat mencemaskan.
“Apabila jumlah pelaburan kurang, peluang pekerjaan juga kurang. Kerajaan negeri boleh menyediakan platform dan ruang bagi golongan pencari pekerjaan untuk mendapatkan peluang pekerjaan dengan menghimpunkan syarikat-syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan melalui program Pahang ‘Job Fair’ dan saya berasakan ekonomi digital serta ‘gig economy’ dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat negeri ini,” katanya.