KUANTAN: Dia pernah kecewa apabila tidak dapat menghabiskan pengajiannya di Syria walaupun sudah berada pada tahun akhir satu ketika dulu.
Ia susulan pergolakan serius berlaku di negara Asia Barat itu pada 2012, sekali gus memaksanya pulang ke tanah air.
Mohd Farid Faizul Othman, 37, berkata pengalaman itu disifatkannya cabaran paling besar dilaluinya, namun dia akur dengan ketentuan takdir.

Mohd Farid Faizul Othman, 37.
Pengalaman itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya apabila bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Al-Quran dan Sunnah, malah muncul penerima Anugerah Kecemerlangan Sultan Ahmad Shah pada Majlis Konvokesyen ke-19, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS).
“Memang sangat mencabar ketika di Syria kerana saya sudah berada di tahun akhir pengajian dalam bidang Al-Quran dan Sunnah.
“Rasa sedih dan kecewa menghantui saya tetapi demi keselamatan, kami akur dengan arahan kedutaan mengarahkan kami untuk pulang ke tanah air,” katanya.
Mohd Farid Faizul ditemui di Majlis Konvokesyen Ke-19, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) Majlis yang disempurnakan Canselor UnIPSAS, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.
Hadir sama, Pro Canselor 1 UnIPSAS, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pro Canselor 11, Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mengulas lanjut, Mohd Farid Faizul yang kini bertugas sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam UnIPSAS berkata, dia mengambil keputusan menyambung pengajian di UnIPSAS dengan mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah pada Mei 2018.
“Walaupun mengambil masa agak lama untuk sambung belajar, ia bukan halangan untuk saya mengejar impian saya untuk terus mendalami dan menguasai bidang Al-Quran dan Sunnah.” katanya yang mempunyai empat cahayamata.
Sementara itu, penerima Anugerah Kecemerlangan Sultan Ahmad Shah, Nurul Izzah Azman, 23, pula berkata, dia terpaksa menunggu hampir tiga tahun untuk bergraduat kerana penularan pandemik Covid-19.
Nurul Izzah yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab Komunikasi Untuk Antarabangsa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Pagoh, bagaimanapun berkata, tempoh dua tahun itu digunakan dengan bekerja sebagai guru bahasa Arab di dua tadika swasta di bandar ini.

“Saya tidak mahu mensia-siakan waktu yang ada. Justeru, saya mengambil keputusan bekerja sementara kerana dalam masa saya saya boleh pertingkatan kemahiran berbahasa Arab,” katanya.
Seramai 1,160 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada istiadat konvokesyen yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini. – NUR HANNAH KHADIJAH