KUANTAN: “Rumah inilah hadiah paling bermakna dan berharga pernah nenek dapat, sampaikan tak ada kata-kata nak gambarkan betapa bersyukurnya nenek sekeluarga menerima sumbangan Kerajaan Pahang ini,” kata Teh Embong, 66, dari Kampung Tiram di sini.
Teh yang mempunyai dua anak, lima cucu dan tiga cicit berkata, adalah antara penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) di kawasan Parlimen Indera Mahkota bagi 2020 dengan penyerahan kunci disempurnakan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid.
Teh berkata, walaupun sudah setahun menerima kediaman berkenaan, perasan gembira dan syukur tidak pernah berkurang di benaknya setiap kali terkenang saat menerima rumah itu.
“Walaupun nenek bukan orang senang, nenek berasa amat bertuah sebab sentiasa dapat pertolongan untuk teruskan kehidupan dan yang paling bermakna tentulah RRP ini.
“Gembiranya nenek memang tak terungkap dengan kata-kata… maklumlah, dapat rumah, tepat berlindung yang jauh sangat bezanya dengan rumah lama yang terlalu uzur dan hampir roboh, malah saya sendiri pernah lima atau enam kali terjatuh selepas papan lantai yang reput patah,” katanya ketika ditemui Fikrah Pahang di sini, hari ini.
Warga emas itu bagaimanapun berkata, dia dan keluarga kini bergelut untuk meneruskan kehidupan apatah lagi anak sulungnya, Zuraini Hassan, 50, baru-baru ini terpaksa menjalani pembedahan membuang barah payu dara, manakala cucunya sulungnya Mohamed Arfendi Mohd Akil, 29, yang diharapkan mencari rezeki, kini tidak lagi bekerja.
“Nenek dulu berniaga makanan tapi tepaksa tutup sebab nenek mengidap banyak sakit kronik antaranya kolesterol dan darah tinggi.
“Rumah ini pula dinaiki air lebih satu meter dalam banjir akhir tahun lalu dan sampai sekarang kami belum siap mengemas. Mujur ada ramai datang tolong cuci rumah dan menyumbangkan barangan keperluan harian.
“Nenek juga nak minta tolong jika ada yang boleh dahulukan bayaran untuk masuk api (elektrik) dan air di rumah ini. Bukan nak minta tapi nenek nak bayar bulan bulan (ansuran) sebab kalau nak bayar sekali gus memang tak mampu,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN