Reban terbakar, 7,000 ekor ayam rentung

Reban terbakar, 7,000 ekor ayam rentung

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar ihsan bomba

PEKAN: Kira-kira 7,000 ekor ayam rentung dalam insiden kebakaran membabitkan sebuah ladang ternakan dalam kejadian di Batu 8, Jalan Kuantan – Segamat dekat sini, awal pagi tadi.

  Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kejadian berlaku jam 6.34 pagi yang menyebabkan 90 peratus struktur reban musnah.

  “Seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini dan Taman Tas bersama dua jentera bergegas ke lokasi untuk operasi pemadaman sebaik meklumat diterima.

  “Kebakaran membabitkan reban seluas 3.7 x 37.2 meter persegi. Api berjaya dipadamkan, namun hampir 90 peratus struktur reban musnah,” katanya, hari ini.

  Menurutnya, walaupun sejumlah besar ayam mati dalam kejadian itu, ketangkasan anggota bomba berjaya menyelamatkan sekitar 3,000 ekor ayam lagi.

  “Operasi pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula air dari tangki pam jentera. Selain itu, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.