Respek 3 wira APM yang karam di Jeram Panjang

Respek 3 wira APM yang karam di Jeram Panjang

JERANTUT: Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang menganggap tiga anggotanya yang karam bersama barang bantuan di Jeram Panjang sebagai wira yang tidak didendang. 

Pengarahnya, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman, berkata: “Tahniah dan terima kasih kepada tiga anggota APM Kuala Tahan yang berkorban tenaga untuk menghantar bantuan makanan kepada Orang Asli.

“Saya harap mereka tidak patah semangat dengan peristiwa bot bantuan itu karam untuk terus berbakti kepada masyarakat setempat selaras dengan moto APM, Adiwira Prihatin Musibah,” katanya. 

Menurutnya, selain sebagai anggota APM, ketua misi, Roslan Abdul Kassim, 58; adiknya yang juga pemandu bot,  Ahmad  Turmizi, 52 dan pemuda Bateq, Belandak Bajak, 28, juga adalah anggota Civil Defence Emergency Response Team (CDERT-C) Kuala Tahan. 

Menurutnya, kejadian bot karam itu berlaku apabila anggota APM itu  dalam perjalanan ke Kampung Aur untuk penghantaran Bakul Makanan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Jerantut. 

“Puncanya arus deras dan berombak sehinggakan air masuk ke dalam bot membuatkan ia tenggelam. Anggota yang lengkap memakai jaket keselamatan dibawa arus hingga ke tebing sungai dekat perkampungan Orang Asli Suku Bateq di Kampung Dedari,” katanya. 

Beliau berkata, kesemua anggota itu yang membesar di Sungai Tembeling, berpengalaman dan tidak bermasalah untuk menggunakan kemahiran berenang dan teknik ampungan  apabila karam. – MUHAMMAD NAJMIE