Respek orang Padang Tengku, kutip sampah di laluan CSR

Respek orang Padang Tengku, kutip sampah di laluan CSR

LIPIS: Sekumpulan enam penduduk Padang Tengku memerlukan kira-kira tiga jam untuk mengutip sampah sarap yang dibuang pengguna laluan Central Spine Road (CSR) Merapoh ke Gua Musang. 

Ketua kumpulan, Tengku Al Malek Faizal  Tengku Kasim berkata mereka mengambil tindakan itu kerana laluan itu terlalu kotor, busuk dan menyakitkan mata.

“Kami mengutip sampah di sepanjang kira-kira 400 meter di laluan itu. Semua sampah itu kami kumpul. Kami dapat 30 bag plastik hitam sampah.

“Pelbagai jenis sampah kami kutip. Paling banyak sisa makanan, bekas makanan polisterin, plastik, tin minuman dan lampin pakai buang bayi,” katanya yang juga anak jati Padang Tengku itu. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Padang Tengku, Dato’ Mustafa Long berkata, beliau memuji sikap penduduk Padang Tengku itu yang sanggup mengutip sampah itu secara sukarela. 

“Saya minta pengguna jalan raya lebih bersikap bertanggungjawab dan berdisiplin menjaga kebersihan kerana dalam Islam pun kita dianjurkan mengutamakan kebersihan.

“Pengguna sepatutnya bersyukur kerana kerajaan sudah menyediakan laluan selesa dan sama-samalay kita menjaga kebersihannya,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE