Restu ibu, keluarga mengiringi Mohd Nizar

Restu ibu, keluarga mengiringi Mohd Nizar

PEKAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya, Dato’ Mohd Nizar Najib, 44, mohon restu dan sokongan padu anggota keluarga untuk perjuangan sulungnya sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ibunya, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, 66 berkata, beliau akan sentiasa menjadi penyokong kuat kepada anaknya itu. 

“Saya harap semuanya akan berjalan lancar untuk dia (Mohd Nizar), insya-Allah. Saya juga berharap dia diberi mandat oleh penduduk Peramu Jaya, sekali gus dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka jika dipilih,” katanya ditemui, di sini, hari ini.

Tengku Puteri Zainah turut bersama penyokong BN Pekan mengiringi Mohd Nizar sepanjang proses penamaan calon di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah.

Turut sama dua lagi anaknya, Putri Norlisa Najib, Dato’ Nazifudin dan Datin Nur Sharmila Shaheen iaitu isteri Mohd Nizar.

Sementara itu, Mohd Nizar yang juga Ketua Pemuda UMNO Pekan, berkata beliau sudah bertemu dengan ayahnya, Dato’ Sri Najib Razak, yang amat gembira apabila dirinya dicalonkan untuk bertanding di DUN Peramu Jaya.

“Sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, saya akan berusaha membangunkan kawasan Peramu Jaya, mengikut corak kepimpinan yang digunakan oleh daddy (Najib Razak),” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD