KUALA LUMPUR: “Takkan tengok saja,” tanya Khairy Jamaluddin kepada pemimpin kanan UMNO susulan tindakan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang meminta Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.
Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, pemimpin kanan parti seharusnya mencontohi tindakan dua pemimpin muda itu demi kepentingan dan kesejahteraan UMNO.
“Onn dan Shahril sudah melakukan tindakan tepat. Sekarang pemimpin ‘senior’ (kanan) kena ikut. Takkan tengok saja,” katanya dalam satu hantaran di Instagram, hari ini.
Sementara itu, dalam hantaran di Twitter, beliau turut menggesa Ahmad Zahid berundur segera.
“Apabila kalah peperangan, panglima besar mesti ada maruah untuk mengambil tanggung jawab, lebih-lebih lagi bila strategi perang diatur menyebabkan ramai soldadu di medan (tempur) tersungkur.
“Presiden (Ahmad Zahid) mesti undur sekarang. Reformasi UMNO tidak boleh ditangguh lagi,” tegasnya. – HELMY ABD RAHMAN