Rezeki 141 pelajar tahfiz

Rezeki 141 pelajar tahfiz

KUANTAN: Seratus empat puluh satu pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) menerima Insentif Mutqin yang disediakan Yayasan Pahang.

Insentif diberikan kepada pelajar yang kini menghafal lima hingga 20 juzuk al-Quran dan setiap daripada mereka menerima di antara RM300 dan RM2,000.

Majlis Penyampaian Insentif Mutqin Yayasan Pahang disempurnakan Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Abdul Razak Abu Musa Shaari, di Dewan Mahkota Maahad Tahfiz, di sini.

Beliau berkata, pemberian Insentif Mutqin oleh Yayasan Pahang kepada pelajar MTNP yang dapat menghafal al-Quran sebagai galakan kepada mereka yang berusaha gigih tanpa rasa jemu.

“Saya berharap insentif yang diberikan menjadi dorongan dan galakan kepada pelajar lain untuk muncul sebagai individu yang memiliki kebolehan menghafal al-Quran.

“Kita ingin melihat lebih ramai golongan muda di Pahang terutama pelajar MTNP dapat menghafal al-Quran iaitu kelebihan tidak ada pada individu lain,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD