Rezeki 90 pesawah tidak kesampaian

Rezeki 90 pesawah tidak kesampaian

PEKAN: Sembilan puluh pesawah Kumpulan Pengguna Air (KPA) Mawar, Pahang Tua, dekat sini, rugi kira-kira RM900,000 apabila padi mereka yang sedang berbuah ditenggelami banjir, minggu lalu.

Ketua KPA Mawar, Ibrahim Sulaiman, 64, berkata paras air di kawasan sawah naik kira-kira satu meter selepas hujan lebat secara berterusan bermula 15 Disember lalu.

“Saya dan rakan pesawah lain reda dengan apa yang berlaku apabila tiada rezeki padi kali ini. Walaupun sistem perparitan kawasan sawah dianggap sempurna, faktor lebihan hujan menyebabkan paras air bertambah di antara dua dan tiga kali ganda,” katanya, di sini semalam.

Beliau berkata, setiap pesawah menanggung kerugian kira-kira RM3,000 membabitkan kos benih, racun, baja dan upah buruh.

Ibrahim yang turut mengusahakan sawah 0.8 hektar, berkata hasrat meraih pendapatan hasil jualan padi musim kedua kali ini tidak menjadi kenyataan.

Katanya, hanya bantuan kerajaan dapat memulihkan semangat mereka untuk memulakan semula projek penanaman padi, tahun depan. – MOHD IMRAN IZZAD