Rezeki Aidiladha buat ‘wira lautan’

Rezeki Aidiladha buat ‘wira lautan’

KUANTAN: “Terkejut juga saya bila dia (YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) ucap terima kasih sebab datang majlis ini, sedangkan sepatutnya saya yang berkata begitu kepadanya.

“Ia secara tak langsung membuktikan YAB Menteri Besar seorang yang merendah diri, prihatin dan ikhlas membantu rakyat,” kata Zaki Azmaidi Ahmad, 47, kepada Fikrah Pahang. 

#kuantan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan kepada bantuan Zulkil Ahmad, 47, Nelayan dari Sungai Soi pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 Fasa 2, Kluster Nelayan Peringkat Negeri Pahang di Auditorium Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah. Gambar oleh Mustaffa Kamal

Bapa kepada empat anak itu seorang daripada 3,133 penerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 Fasa 2 Kluster Nelayan di Auditorium Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pahang di sini, hari ini.

Menurutnya, bantuan yang diterima itu, sememangnya membantu, apatah lagi dirinya kini sukar untuk ke laut mencari rezeki selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira enam bulan lalu.

“Saya sekarang terpaksa bertongkat selepas dilanggar kereta dan agak susah juga untuk ke laut. Jadi bantuan ini sememangnya amat membantu,” katanya yang menetap di Sungai Soi di sini.

Bagi Mohd Halim Mahadi Mohd Nor, 49, nelayan dari Tanjung Api, imbuhan yang diterima itu sedikit sebanyak dapat membantu dirinya dan keluarga membuat persiapan Aidiladha.

“Bolehlah kami beli daging lembu sekilo atau dua kilogram untuk dibuat rendang,” katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, seramai 3,133 nelayan menerima RM200 seorang membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM626,600.

“Kerajaan Pahang amat menghargai pengorbanan wira-wira tidak didendang ini yang sanggup berjuang di tengah lautan iaitu golongan nelayan.

“Justeru, petang ini saya menyampaikan BPP 2022, Fasa 2, bagi Kluster Nelayan iaitu sumbangan RM200 seorang untuk 3,133 nelayan di negeri ini.

“Selain itu, kerajaan negeri menyumbangkan RM10,000 kepada setiap Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) bagi daerah Kuantan, Pekan, dan Rompin, manakala RM20,000 lagi disumbangkan kepada Persatuan Nelayan Negeri Pahang,” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN