KUANTAN: Sejumlah RM88,200 diperuntukan Kerajaan Pahang melalui Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada 441 veteran tentera dan bekas polis di kawasan Parlimen Indera Mahkota.
Daripada jumlah itu, setiap penerima mendapat RM200 iaitu membabitkan 333 veteran tentera daripada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) cawangan Indera Mahkota.
Sekurang-kurangnya 108 penerima pula adalah ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) cawangan Bandar Indera Mahkota.
Sumbangan daripada kerajaan negeri melalui BPP Fasa 2 itu disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid di Dewan Atabara Indera Mahkota, di sini semalam.
Mustaffar Kamal berkata, penghargaan dan terima kasih kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kerana sentiasa cakna akan keperluan dan kebajikan rakyat Pahang.
“Dengan keprihatinan kerajaan negeri, diharapkan lebih banyak lagi bantuan dapat diberikan kepada golongan yang memerlukan,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN