Rezeki hadap cabaran bertimpa

Rezeki hadap cabaran bertimpa

KUANTAN: Cabaran bertimpa yang datang serentak hampir membuatkannya membatalkan hasrat menyertai Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Tahun 1444 Hijrah / 2022 Masihi.

Ternyata, berkat kesabaran dan kecekalan hati meneruskan niat menyertai pertandingan itu memberi pulangan besar kepada Nur Alya Farhani Mohd Ghazali, 22, apabila muncul pemenang Kategori 1 hingga 30 Juzuk (perempuan) pada majlis berkenaan yang berlangsung 13 Disember sehingga hari ini.

Nur Alya Farhani yang kini sedang mengikuti pengajian dalam tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, berkata majlis itu dianjurkan ketika musim peperiksaan sedang berlangsung.

#kuantan EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar & Hal Ehwal Orang Asli, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad menyampaikan hadiah kepada Pemenang Ketogeri 1 hingga 30 Juzuk Perempuan, Nur Alya Farhani Mohd Ghazali dari Taman Jarola Mawar, Pekan pada Majlis Perasmian Penutupan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1444 Hijrah / 2022 Masihi di Hotel Swiss-Bel. Gambar Fikrah Pahang oleh Mustaffa Kamal

“Saya ada terfikir nak tarik diri saja kerana tarikh pertandingan ini kebetulan ‘clash’ (bertembung) dengan ‘exam’ (peperiksaan).

“Tambah sukar kerana saya berjauhan dengan suami (Ahmad Mukmin Hishamuddin, 25) dan anak (Aula Ahmad Mukmin) yang baru berusia dua tahun terutama ketika buat latihan tengah malam… selalu tersentuh emosi.

“Tapi atas dorongan suami, saya gagahkan juga dan tak sangka boleh menjadi juara,” kata bekas pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) itu.

Perserta Terbaik dan Pemenang Ketogeri 1 hingga 20 Juzuk Lelaki, Muhammad Jibril Mohd Hanafiah, 20, pula berkata dia agak terkejut dan tak menyangka muncul sebagai pemenang.

“Mana tidaknya, saya ada melakukan beberapa kesalahan ketika peringkat awal, tapi alhamdulillah, ternyata rezeki berpihak kepada saya,” katanya yang kini mengikuti pengajian Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat di MTNP.

#kuantan EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar & Hal Ehwal Orang Asli, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad menyampaikan hadiah kepada Pemenang Ketogeri 1 hingga 20 Juzuk Lelaki dan Perserta Terbaik, Muhammad Jibril Mohd Hanafiah dari Maahad Thafiz Negeri Pahang, Kuantan pada Majlis Perasmian Penutupan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1444 Hijrah / 2022 Masihi di Hotel Swiss-Bel. Gambar Fikrah Pahang oleh Mustaffa Kamal

Hadiah kepada semua pemenang disampaikan EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Syed Ibrahim yang juga menjadi wakil rasmi YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, turut menyempurnakan Penutup Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1444 Hijrah / 2022 Masihi, hari ini. – HELMY ABD RAHMAN