Oleh Mohd Fikri Mie
fikrahpahang@gmail.com
LIPIS: Bagaikan rezeki harimau buat pekebun Orang Asli apabila durian kampung di beberapa desa mereka yang terletak di Pos Titom, di sini, sedang mengeluarkan hasil yang banyak.
Setiap hari antara 600 kilogram hingga satu tan raja buah itu dapat dikumpul untuk dijual kepada beberapa pemborong luar.
Pemborong, Asun Salleh, 29, berkata durian di kawasan Pos Titom mula gugur minggu lalu dan kini jumlahnya kian banyak sehinggakan mendorong ramai pemborong datang bagi mendapatkan bekalan walaupun memerlukan tiga jam untuk sampai ke desa itu.
“Kali ini pekebun di Pos Titom bertuah apabila durian gugur di luar musim yang membolehkan mereka meraih pendapatan lebih berikutan harga dijual lebih tinggi berbanding sebelum ini
“Sebelum ini, durian dijual dengan harga antara 50 sen hingga RM1 sebiji, pernah berlaku lambakan buah hingga tidak dapat dipasarkan kerana pemborong tidak berminat untuk membeli,” katanya, di sini, semalam.
Katanya, dia membeli durian daripada pekebun dengan harga antara RM2 hingga RM3 sekilogram dan menjualnya semula harga RM3.50 hingga RM4 sekilogram bergantung kepada kualiti dan saiz buah.
Asun berkata, selain durian penduduk turut menjual hasil hutan lain seperti buah perah yang kini sedang banyak mengeluarkan hasil dan ia dijual antara RM1 hingga RM2 sekilogram.
Tinjauan di kampung berkenaan mendapati pemborong terpaksa masuk ke hutan untuk mengambil durian yang dikumpul oleh pekebun.