KUANTAN: Kerajaan Pahang menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MKK), semalam, bersetuju memberi sumbangan RM20,000 beserta sijil penghargaan kepada Pegawai Kadet Kanan (PKK) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), B Janusha.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata sumbangan kepada anak kelahiran Lipis itu sebagai penghargaan atas kecemerlangan sebagai pegawai wanita pertama berjaya menamatkan Pengajian dan Latihan Ketenteraan di United States Naval Academy (USNA), di Amerika Syarikat.
“Sememangnya saya amat mengagumi kegigihan Janusha dan juga ahli keluarganya yang lain terutama kedua ibu bapanya yang begitu mengambil berat mengenai masa depan anak sehingga kesemuanya memiliki kerjaya yang hebat.
“Sesungguhnya, kejayaan Janusha ini perlu dijadikan satu inspirasi dan motivasi kepada seluruh rakyat Pahang dan Malaysia supaya kita tahu bagaimana perlunya mempunyai keazaman dan kegigihan untuk berjaya. “Saya berharap agar Janusha terus maju dan sukses dalam kerjaya pada masa akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini. Janusha, 23, menjalani pengajian dan latihan ketenteraan empat tahun di akademi itu bermula 2018. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN