PEKAN: Kemunculan kijing iaitu sejenis hidupan air tawar di sawah Kampung Lepar, Pahang Tua, di sini, menarik perhatian masyarakat setempat.
Aktiviti mencari hidupan dalam lumpur yang menyerupai lokan itu dilakukan penduduk setempat berikutan ketika ini air di kawasan terbabit kian surut.
Penduduk perumahan Taman Sepekan Jaya, Khairul Anuar Mohd Khalyubi, 45, berkata kebiasaan kijing yang banyak di Sungai Pahang muncul dalam tali air kawasan sawah dengan jumlah yang banyak.
Menurutnya, dia mula mencari kijing selepas rakanya memberitahu hidupan air itu banyak dalam tali air kawasan sawah Kampung Lepar, Pahang Tua, berikutan paras air semakin surut selepas banjir, minggu lalu.
“Ketika zaman kanak-kanak saya dan penduduk kampung biasa mencari kijing di sepanjang Sungai Pahang yang berlumpur terutama ketika air sungai surut.
“Bagaimanapun, ini kali pertama saya sekeluarga mencari kijing dalam tali air kawasan sawah,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD