KUANTAN: Seorang peniaga menghidap Systemic Lupus Erythematosus (SLE) iaitu penyakit tirod, tidak menyangka KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudi membeli satar dan pulut panggang di gerainya.
Noraini Saleh, 42, berkata gerai itu yang terletak di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Beserah di sini, sudah diusahakan sejak empat tahun lalu.
Menurutnya, dia terkejut, namun bersyukur apabila Al-Sultan Abdullah yang diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah, singgah di gerainya itu selepas selesai melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di sekolah berkenaan, tengah hari tadi.
“Sepanjang empat tahun berniaga, hari ini paling istimewa apabila Tuanku Agong singgah membeli satar dan pulut panggang di gerai saya.
“Memang terkejut jugalah dan tak sangka baginda singgah… sebaik saja (Al-Sultan Abdullah) keluar dari pintu PPS, kereta dinaiki Tuanku berhenti betul-betul depan gerai.
“Tuanku beritahu mahu merasa satar dan pulut panggang dan baginda membeli 10 batang satar serta 30 pulut panggang yang kami jual,” katanya ketika ditemui media selepas rombongan Al-Sultan Abdullah beredar dari perkarangan PPS berkenaan.
Noraini berkata, dia dan suaminya, Shaiful Shari, 38, mengusahakan gerai itu untuk menambah pendapatan selepas dia disahkan menghidap penyakit SLE.
Sementara itu, Shaiful yang sebelum ini bertugas sebagai anggota tentera di Kem Batu 10, Jalan Kuantan-Gambang mengakui terkejut apabila Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Raja Pahang singgah membeli hasil jualan di gerai mereka.
“Tengku Hassanal pun ada menegur saya, dia masih cam muka saya sebab sebelum ini, baginda pernah bertugas di sana (Kem Batu 10) sebagai pegawai memerintah dan saya pernah mengiringi baginda ketika masih berkhidmat di kem itu,” katanya yang kini dalam proses peralihan sebelum pencen tahun depan. – KHALEEF FITRI