JERANTUT: Hampir dua ribu penduduk FELDA Sungai Retang, FELDA Padang Piol, Tembeling Tengah dan kampung berdekatan menyerbu Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di FELDA Sungai Retang, semalam dan hari ini.
Penduduk teruja apabila harga 37 barangan keperluan dapur yang diselenggarakan oleh Pasar Raya TF Jerantut dijual 20 peratus lebih rendah.
Program yang julung kali dilaksanakan di kawasan luar bandar itu menyaksikan Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Ahmad Nazlan Idris, menyuntik tajaan RM10 untuk satu kilogram daging lembu yang dijual.
Ahmad Nazlan berkata, usahanya itu adalah untuk memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat luar bandar menikmati daging dengan harga lebih murah selain 37 barangan lain.
“Ketika ini, harga daging lembu di pasaran ialah RM32 sekilogram. Saya taja RM10 untuk setiap kilogram. Lebih menarik apabila penjual daging turut memberi diskaun sebanyak RM2. Oleh itu, pengguna hanya bayar RM20 untuk sekilogram daging,” katanya.
Katanya, beliau berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Jerantut akan mengadakan lebih banyak PJKM di kawasan luar bandar untuk memberi peluang kepada golongan itu menikmati harga barang lebih murah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat KPDNHEP Jerantut, Abdul Mubin Ahmad berkata, PJKM mendapat sambutan hangat penduduk apabila barangan keperluan asas ditawarkan dengan harga murah. – MUHAMMAD NAJMIE