PEKAN: Jabatan Perikanan Pahang melepaskan lebih 96,000 benih ikan spesies lampam sungai, baung, sebarau dan terbol ke Tasik Chini, di sini, secara berperingkat sejak tahun lalu.
Pengarah Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata sumber utama benih ikan dikeluarkan Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok, Jerantut dan PPA Bukit Tinggi, Bentong.
Katanya, pelepasan benih ikan di Tasik Chini bertujuan untuk menambah stok ikan di perairan berkenaan seterusnya memberi manfaat khususnya kepada nelayan darat terutama komuniti Orang Asli.
“Kita turut melepaskan benih udang galah di beberapa antara lokasi seperti di Sungai Rompin dan Sungai Pontian di Rompin termasuk Sungai Kuantan serta Sungai Bukit Rangin di Kuantan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Pelepasan 21,000 Benih Ikan Air Tawar di Tasik Chini sempena Program Penanaman Pokok dan Penggayaan Tasik Chini, dekat sini, 10 September lalu.
Program berkenaan dirasmikan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang turut disertai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. – MOHD IMRAN IZZAD