Rezeki Ramadan penduduk Hulu Tembeling 

Rezeki Ramadan penduduk Hulu Tembeling 

JERANTUT: Tiga ratus lima puluh kotak rezeki berisi barangan keperluan asas diagihkan kepada golongan sasar membabitkan penduduk di tiga kampung pendalaman Mukim Hulu Tembeling, di sini, kelmarin.

Misi prihatin sempena Ramadan itu anjuran bersama Malaysian Consultative Council of Islamic Organization (MAPIM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang.

Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, bantuan diagihkan kepada penduduk Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Kampung Orang Asli Kuching.

Menurutnya, program julung kali diadakan itu antara aktiviti sempena sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) Kali Ke-70.

“Kita menggunakan beberapa bot untuk membawa barangan bantuan seperti makanan dan al-Quran untuk tiga kampung terbabit yang terletak di tepi Sungai Tembeling,” katanya, semalam. – MOHD IMRAN IZZAD