Rezeki raya anggota KOSMA

Rezeki raya anggota KOSMA

KUANTAN: Koperasi Serbausaha Makmur Bhd (KOSMA) bersetuju mengagihkan dividen modal syer sebanyak 55 peratus kepada anggotanya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, antara bayaran dividen koperasi tertinggi di Malaysia, setakat ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan replika kunci van jenazah sumbangan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) kepada wakil Masjid Kampung Pulau Pasir Mandi, Kerdau, Temerloh.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata Jawatankuasa Pentadbir KOSMA juga bersetuju membayar agihan keuntungan unit ladang sebanyak RM6,000 seunit kepada setiap anggota. 

Katanya, ia membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM62.2 juta dengan menggunakan keuntungan tahun semasa, tanpa menggunakan wang rizab sedia ada.

“Jumlah pembayaran bagi dividen modal syer adalah sebanyak RM31.47 juta, manakala bagi agihan keuntungan unit ladang pula sebanyak RM30.73 juta.

“Pembayaran akan dikreditkan ke dalam akaun bank anggota yang layak secara berperingkat bermula 15 April ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman dividen KOSMA oleh YAB Menteri Besar Pahang di Bilik Kunjung Hormat, Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail selepas mengumumkan Dividen Modal Syer dan Agihan Keuntungan Unit Ladang  Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) di Wisma Sri Pahang

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Dato’ Nazri Ngah; Pentadbir KOSMA, Zahari Abdul Aziz dan Pengurus Besar KOSMA, Mohd Shafirun Mohd Azba.

Tahun lalu, KOSMA mengagihkan dividen modal syer sebanyak 30 peratus dan RM3,300 per unit bagi keuntungan unit ladang.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, bagi tahun kewangan 2021, KOSMA mencatatkan pendapatan sebanyak RM222.39 juta berbanding RM144.66 juta, tahun sebelumnya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri),  Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Dato’ Nazri Ngah (tengah)  dan  Pentadbir KOSMA, Zahari  Abdul Aziz ketika mengumumkan Dividen Modal Syer dan Agihan Keuntungan Unit Ladang  Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) di Wisma Sri Pahang.

“Keuntungan sebelum cukai adalah sebanyak RM110.32 juta berbanding RM55.46 juta pada 2020.

“Prestasi cemerlang KOSMA bagi 2021 disumbang oleh peningkatan harga minyak sawit mentah (CPO) tinggi selain hasil usaha Jawatankuasa Pentadbir dan pengurusan terutamanya di peringkat ladang mengawal kos operasi di sebalik peningkatan mendadak harga input perladangan seperti baja dan bahan kimia,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, KOSMA mengumumkan sumbangan sembilan van jenazah kepada sembilan masjid di negeri ini. – HELMY ABD RAHMAN