TEMERLOH: Berita baik buat veteran polis dan tentera di negeri ini apabila YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail bersetuju menaikkan jumlah bantuan tunai ‘one-off’ untuk mereka daripada RM200 seorang sekarang kepada RM300 tahun hadapan.
Ia bagaimanapun bergantung sama ada sasaran hasil sebanyak RM1 bilion tahun ini dapat dicapai atau tidak.
“Tapi saya optimis kita akan capai sasaran hasil RM1 bilion kerana angka terkini hasil adalah sebanyak RM670 juta.
“Sasaran ini bukan kita letak suka suka sebaliknya memang kita yakin mampu dicapai… antaranya dengan mengurangkan ketirisan dan bila dapat nanti, saya janji ia akan dikembalikan semula kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kategori Apresiasi untuk Veteran Tentera dan Polis di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau, Dato’ Sri Dr Haji Ismail Mohamed Said, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Dato’ Nor Azmi Mat Ludin.
Majlis turut dihadiri Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf; Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Tuan Mohamed Lokman Mahmud dan Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Pahang, Kapt (B) Abdul Latif Mohd Nor.
Bagi pesara polis, Ismail Mat Akhil, 91, dari Taman Sri Semantan di sini, dia amat terharu dengan bantaun berkenaan dan bersyukur kerana Pahang ditadbir kerajaan yang bertanggung jawab serta prihatin terhadap nasib rakyat.
“Bantuan ini amat bermakna untuk saya dan ia membuktikan Kerajaan Pahang hari ini adalah terbaik untuk semua,” kata bapa kepada tujuh anak itu. – HELMY ABD RAHMAN