Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Fath Ahnaf
KUANTAN: Spesis cacing laut atau lebih dikenali sebagai urat tanah di kalangan orang tempatan menjadi rezeki sampingan bagi nelayan pantai dari Kampung Balok, di sini.
Abdul Hamid Mohd Hashim, 56, berkata, dia mencari urat tanah di persisir pantai Balok dan Cherating untuk dijual jika ada permintaan daripada kaki pancing.
“Kaki pancing suka sangat urat tanah kerana ia antara umpan terbaik untuk memancing ikan seperti gelama, jenahak, duri dan pari.
“Harga untuk seekor urat tanah pula antara RM3 hingga RM5 bergantung kepada saiznya dan saya pernah meraih pendapatan sehingga RM180 sehari,” katanya yang sudah lapan tahun menjadi nelayan pantai.
Katanya, dia hanya akan pergi mencari urat tanah sekiranya mendapat tempahan daripada pelanggan dan kebiasaannya urat tanah hanya boleh dicari ketika air laut surut.
“Saya hanya akan cari mengikut jumlah ditempah dan tidak akan cari lebih disebabkan urat tanah ini tidak boleh disimpan lama kerana ia akan mati.
“Paling banyak pernah saya dapat sehingga 60 ekor sehari.
“Di Kuantan, tidak ramai orang yang tahu bagaimana cara untuk mencarinya.
“Saya sendiri pernah mengajar beberapa rakan cara untuk mencari urat tanah namun tidak semua yang berjaya mencarinya sendiri kerana teknik mencari hidupan laut ini sangat cerewet,” katanya.