ROMPIN: Tidak lama lagi, warga Muadzam Shah dan kawasan sekitarnya boleh beriadah di Taman Tasik Lipur Kota @ Muadzam Shah pada waktu malam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muadzam Shah, Ir Razali Kassim, berkata ia susulan kerja-kerja menaik taraf taman itu dijangka siap sepenuhnya pertengahan bulan ini.
“Sebanyak RM430,000 diperuntukkan Majlis Daerah Rompin (MDR) untuk menaik taraf tasik ini yang membabitkan pemasangan papan tanda Taman Tasik Lipur Kota @ Muadzam Shah, lampu dan kemudahan awam di sekitar taman.
“Sebaik siap, warga Muadzam Shah dan sekitar boleh beriadah di taman ini terutama pada waktu malam,” katanya ketika dihubungi Fikrah Pahang, hari ini.
Pada masa sama, beliau meminta pengunjung supaya tidak melakukan vandalisme di taman tasik berkenaan.
“Selain itu, kebersihan perlu diutamakan terutama sampah yang perlu dibuang ke dalam tong sampah sediakan.
“Diharapkan dengan kerja menaik taraf ini akan menggembirakan warga Muadzam Shah beriadah bersama keluarga,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN