Rintihan tiada duit nak sara keluarga paling banyak diterima JKM

Rintihan tiada duit nak sara keluarga paling banyak diterima JKM

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang memberikan perkhidmatan kaunseling kepada 611 individu sama ada secara kelompok dan komuniti dalam enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin, berkata pihaknya turut mengadakan 

543 ujian psikologi di samping 101 kali bengkel interaktif yang berkaitan dengan Perintah Akta Kanak-Kanak 2001.

KUANTAN ..Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin turut sama membantu melayan pelanggan dibilik gerakan JKM di pejabat JKM Pahang.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, 767 perkhidmatan kaunseling diberikan kepada golongan yang tampil menghubungi pihaknya di semua daerah bagi rujukan pelbagai isu dan  masalah melalui 968 ujian psikologi dan 143 bengkel interaktif.

Katanya, selain berhubung melalui telefon, ada juga yang datang bersemuka dengan pegawai psikologi (kaunseling). 

Katanya, perkhidmatan kaunseling dan psikologi berperanan membantu kumpulan yang mengalami masalah psikologi dan tingkah laku yang tidak normal.

“Kita berusaha sedaya upaya membantu individu terbabit untuk terus menjalani kehidupan yang lebih bermakna, produktif dan mencapai kesejahteraan psikologi yang optimum.

“Tidak dinafikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ramai yang menghadapi tekanan hingga sanggup melakukan tindakan yang tidak normal,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, masalah kewangan untuk menyara keluarga kerana kehilangan pekerjaan adalah antara aduan paling banyak diterima sejak kerajaan melaksanakan PKP, pada tahun lalu. 

“JKM kini bekerjasama dengan Sekretariat Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang (MAKPEN) dalam melancarkan agihan bantuan keperluan asas kepada golongan memerlukan di negeri ini,” katanya.