Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan peruntukan RM1.4 juta bagi membantu 164 Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Timbalan Yang Dipertua MUIP, YAM Tengku Panglima Raja Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah bantuan fasa dua itu membabitkan RM360,000 untuk diberikan kepada 1,200 guru dan kakitangan.
Titahnya, RM680,000 pula dikhaskan untuk kegunaan pengurusan dan utiliti buat institusi pendidikan Islam itu sepanjang PKP 3.0.
“Sumbangan diharap dapat meringankan beban mereka yang terjejas sejak PKP 1.0 tahun lalu,” titah baginda pada Majlis Liqa’ Mahabbah Bersama Pengetua Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok yang diadakan secara dalam talian, di sini, kelmarin.
Turut sama Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Abdul Rahman Othman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Dato’ Dr Zulkiflie Ali.
Baginda bertitah, MUIP akan terus berusaha membantu meringankan beban institusi pendidikan Islam di negeri ini yang tidak dapat beroperasi sepanjang PKP berikutan penularan wabak Covid-19.
“Bagi pihak MUIP, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri dan pembayar zakat serta semua pihak yang membantu institusi pendidikan Islam dalam meneruskan sesi persekolahan norma baharu,” titahnya.