Kuantan 12 November 2024 (FIKRAH PAHANG) – Sebanyak RM1,901,900.00 peruntukan disediakan Kerajaan Pahang bagi membantu masjid dan surau kebenaran Jumaat, maahad tahfiz , golongan mualaf dan pelajar tahfiz di daerah Temerloh dan Jerantut melalui skim Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2024 di Dewan Tun Razak, Temerloh.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sebanyak 152 (93 Temerloh dan 59 Jerantut) buah masjid dan surau kebenaran Jumaat masing-masing menerima RM10,000.
Dalam pada itu, 37 buah pusat tahfiz dan pondok (21 Temeroh dan 16 Jerantut) menerima sumbangan RM2,000 manakala 2333 pelajar tahfiz diberikan bantuan RM100 setiap seorang.
Tidak ketinggalan seramai 373 golongan mualaf di dua daerah ini menerima bantuan RM200 seorang.
“Alhamdulillah, zohor tadi saya mewakili YAB Dato Sri Di Raja Wan Rosdy bin Wan Ismail Menteri Besar Pahang meraikan 2895 penerima Bantuan Prihatin Pahang bagi Daerah Temerloh dan Jerantut. Semoga usaha murni Kerajaan Negeri Pahang ini diberkati Allah dengan sepenuh manfaat.” beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya.
Turut hadir Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan, Dato’ Rezuan Hazimin dan penyelaras DUN Damak, Haris Salleh Hamzah.
Oleh : ZULKEPLI OSMAN