RM1 bilion antara Karak ke Simpang Pelangai bakal dibina.

RM1 bilion antara Karak ke Simpang Pelangai bakal dibina.

Lipis 19 Mei 2023. Projek pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) antara Karak ke Simpang Pelangai bernilai RM1 billion bakal dibina selepas reka bentuk laluan jajaran itu siap menjelang Ogos ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) kini dalam peringkat menyediakan reka bentuk jajaran laluan berkenaan bermula dari Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) ke Simpang Pelangai kira-kira sejauh 30 kilometer.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam sekitar dan Teknologi Pahang, Dato’ Sri Johari Harun baru-baru ini supaya kerajaan menyambung jalan raya di bawah projek LTU antara Karak ke Simpang Pelangai dalam kawasan Bentong.

“Kerajaan menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) juga dalam perancangan menyambung projek LTU antara Simpang Pelangai di Bentong melalui Negeri Sembilan ke Johor Bharu selepas projek LTU Karak – Simpang Pelangai dibina”. katanya ketika ditemui Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri YB Timbalan Menteri Kerja Raya dan Parlimen Lipis.

Dato’ Sri Johari Harun

Dato’ Sri Johari Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Simpang Pelangai dalam kenyataannya baru-baru ini kecewa kerana peruntukan bagi pelaksanaan fasa enam sejauh 47 kilometer ke Simpang Pelangai tidak termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan projek itu hanya terhenti di Sertik di daerah ini.

Untuk rekod, pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dari Kuala Krai, Kelantan melalui Simpang Pelangai ke Kuala Pilah di Negeri Sembilan tanpa tol sejauh 325 kilometer membabitkan enam fasa pembinaan dengan kos lebih RM7.3 bilion. Fasa pertama hingga lima dijangka siap awal 2026.

Oleh: Kabhi Ismail