RM10.75 juta tangani masalah air Felda Sungai Retang 

RM10.75 juta tangani masalah air Felda Sungai Retang 

JERANTUT: Masalah air yang menghantui masyarakat FELDA Sungai Retang sejak 15 tahun kebelakangan ini dijangka dapat diselesaikan pada September tahun depan. 

Isu itu bakal selesai dengan perlaksanaan projek menaik taraf loji rawatan air dan pembinaan tangki simpanan bernilai RM10.75 juta yang akan dilaksanakan oleh FELDA dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP). 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Nazri Ngah berkata, kerajaan faham masalah peneroka terutama yang mendiami kawasan tinggi dan sering terputus bekalan air.

Katanya, FELDA memperuntukkan RM7.6 juta bagi pembinaan tangki di kawasan tinggi dan kerja penggantian paip manakala PAIP pula menyediakan RM3.15 juta  untuk menaiktaraf loji rawatan air di Air Hitam.

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk mengatasinya. Namun, tidak dapat diselesaikan dengan segera kerana membabitkan peruntukkan yang besar,” katanya dalam majlis bersama masyarakat FELDA Sungai Retang, di Balai Raya FELDA Sungai Retang, hari ini. 

Beliau turut menyampaikan sumbangan Kerajaan Pahang kepada anak yatim dan pesakit kronik serta menyerahkan bantuan kepada mereka yang memerlukan di FELDA Sungai Retang

Turut  hadir Pegawai Eksekutif PAIP, Saiful Zaini Bokhari; Pegawai Daerah Jerantut,  Khairun Nissa Aris dan Penolong Pengarah Kanan FELDA Wilayah Jengka,  Mohd Faizal Mat Jusof. 

Beliau berkata, paip lama tidak dapat lagi menampung keperluan air apabila bilangan keluarga peneroka semakin bertambah. 

Katanya, masalah air itu berlaku juga di beberapa FELDA lain kerana paip yang ada sudah tidak sesuai dan perlu diganti. – MUHAMMAD NAJMIE