RM100 juta nilai harta benda rosak kerana bah di Kuantan

RM100 juta nilai harta benda rosak kerana bah di Kuantan

KUANTAN: Warga daerah ini kerugian kira-kira RM100 juta berikutan kehilangan harta benda mereka akibat banjir, minggu lalu. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda, berkata antara harta benda yang musnah adalah perabot dan peralatan elektrik di samping kos penyelenggaraan kenderaan yang ditenggelami air.

Katanya, kerajaan negeri menganggarkan setiap keluarga isi rumah (KIR) di Kuantan mengalami kerugian di antara RM10,000 dan RM12,000 atau lebih membabitkan 7,491 KIR.

“Bagaimanapun, kerugian itu tidak termasuk infrastruktur yang mengalami kerosakan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan MBK,” katanya.

Abd Rahim berkata demikian kepada media selepas meninjau keadaan Taman Makmur Mahkota Jaya, di sini, yang dilanda banjir sehingga paras 1.5 meter, hari ini.

Turut sama Pengarah JBPM Pahang, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Dato’ Hamdan Hussin.

Ditanya operasi pembersihan sisa sampah banjir, beliau berkata, kira-kira 500 tan sampah dikutip setiap hari.

Katanya, ia diurusakan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), MBK dan Alam Flora Sdn Bhd.

“SWCorp akan memantau kerja pembersihan dari semasa ke semasa untuk memastikan ia dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN