Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar Muhammad Izz Zahin
KUANTAN: Mulai tahun ini, setiap murid yang bakal memasuki alam persekolahan di tahun satu di Pahang, layak menerima bantuan daripada kerajaan negeri sebanyak RM100 setiap seorang, sekali ganda lebih banyak berbanding RM50 yang diberikan sejak beberapa tahun lalu.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, untuk tahun ini, seramai 25,730 murid layak menerima sumbangan itu yang membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM2.57 juta.
“Bantuan ini adalah sebagai ingatan ikhlas kita dan kerajaan negeri percaya ia dapat membantu meringankan beban golongan ibu bapa di negeri ini selain memberi peluang kepada anak-anak kita membeli apa yang mereka perlukan untuk memasuki alam persekolahan.
“Kerajaan negeri dah mula berikan bantuan kepada anak-anak yang nak masuk darjah satu sejak beberapa tahun lalu, cuma sebelum ini kita beri RM50, tapi sekarang RM100 dan jika kedudukan kewangan kita bertambah baik, insya-Allah, kita akan beri lebih lagi pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis ringkas program sumbangan ‘one-off’ RM100 kepada murid tahun satu Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (Sektor Pembelajaran), Abdul Rahim Mohd Yunus.
Turut menyaksikan, barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan PAS.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, semua wakil rakyat Muafakat Nasional (MN) terbabit dan akan menyerahkan sumbangan itu kepada sekolah-sekolah di negeri ini dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Pahang.
“Bantuan ini akan diedarkan di sekolah-sekolah dengan syarat mematuhi SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan kerajaan,” katanya.