RM2.83 juta BBP 2022 buat mahasiswa anak Pahang

RM2.83 juta BBP 2022 buat mahasiswa anak Pahang

KUANTAN: Kerajaan Pahang melalui Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 memperuntukkan RM2.83 juta buat 14,168 mahasiswa anak Pahang yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). 

EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, melalui bantuan itu, setiap penuntut menerima RM200.

Katanya, bantuan itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri selain membantu meringankan beban.

“Pada awalnya kita ingin memberikan bantuan ini di universiti tetapi memandangkan mereka cuti semester, bantuan ini diberikan di daerah-daerah.

“Kita pernah memberikan bantuan secara terus kepada penuntut Pahang yang mengikuti pengajian di Universiti Malaysia Sabah yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Julai lalu,” katanya.

Syed Ibrahim berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan BPP 2022 kepada 1,500 mahasiswa bagi daerah Kuantan di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan, di sini hari ini.

Semua penuntut itu dari Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), University College of Yayasan Pahang (UCYP), Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC), Kolej Yayasan Pahang (KYP) dan Kolej Yayasan Pahang (KYP) dan Kolej Yayasan Pahang AdvancedSkills (KYPAS).- MUHAMMAD IZZ ZAHIN