RM218.1 juta atasi masalah bekalan air di Temerloh, Bentong

RM218.1 juta atasi masalah bekalan air di Temerloh, Bentong

KUANTAN: Sejumlah RM218.1 juta diperuntukkan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Temerloh dan Bentong. 

Daripada jumlah itu, RM150 juta diperuntukkan bagi menyelesaikan isu bekalan air di Temerloh khususnya di Lanchang, Kuala Semantan, Mentakab, Kuala Krau dan Jenderak. 

Baki RM68.1 juta pula diperuntukkan pula bagi penyelesaian isu bekalan air di Bilut, Ketari dan Sabai.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran Facebook, hari ini memaklumkan bahawa  sebagai langkah pencegahan, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) akan secara berterusan mencari punca awal bagi mengelakkan timbul masalah bekalan air pada masa depan.

“Oleh itu, marilah sama-sama kita berdoa dan berusaha sehabis baik bagi menyelesaikan segera segala isu dan permasalahan berkaitan bekalan air di negeri ini demi manfaat rakyat Pahang secara keseluruhannya,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai PAIP Temerloh dan Bentong yang memfokuskan langkah menambah baik segala permasalahan berkaitan bekalan air di dua daerah tu.

Pada masa sama, Wan Rosdy telah berjanji untuk bersungguh-sungguh bagi menyelesaikan masalah bekalan air di setiap daerah di Pahang ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1 April lalu. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN