RM26.6 juta diperuntukkan untuk atasi masalah bekalan air di Rompin

RM26.6 juta diperuntukkan untuk atasi masalah bekalan air di Rompin

ROMPIN: Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memperuntukkan RM26.6 juta bagi mengatasi masalah bekalan air di daerah ini.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata peruntukan itu bagi kerja pemasangan, pembinaan pam dan tangki di sepuluh kawasan yang dikenal pasti.

Katanya, masalah bekalan air di daerah ini lebih bertumpu kepada tekanan rendah dan terputus bekalan air ketika waktu puncak.

“Justeru, melalui mesyuarat (hari ini) bersama PAIP, saya ingin memaklumkan bahawa PAIP memperuntukkan RM26.6 juta bagi kerja pemasangan, pembinaan pam dan tangki,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Selain itu, katanya, Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) juga akan diperluaskan di Kampung Air Batang (Tioman), Kampung Aur Seberang dan Kampung Baru di Muadzam Shah dan Kampung Merlak.

Katanya, projek itu akan menelan belanja RM19.4 juta.

“Semoga apa yang kita usahakan ini akan membuahkan hasil yang akan memberikan manfaat sepenuhnya kepada rakyat di Pahang.

“Selepas Rompin, InsyaAllah saya akan membincang dan mencari langkah penyelesaian untuk daerah Pekan pula,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN