KUANTAN: Kerajaan negeri bersetuju menambah insentif program Pahang Pride Kid daripada RM200 kepada RM300 untuk setiap bayi yang lahir di bumi Pahang bermula tahun depan.
Berita baik itu diumumkan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Pelancaran Program Anak Kebanggaan Pahang 2022 (Pahang Pride Kid 2022) di Taman Bandar Indera Mahkota di sini, hari ini.
Beliau berkata, penambahan jumlah insentif itu dapat dilakukan berikutan kerajaan negeri mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.
“Kita dapat laporan Rabu minggu lalu bahawa hasil kerajaan negeri sudah mencecah hampir RM600 juta, bermakna kita dalam landasan untuk capai sasaran RM1 bilion (hasil) hujung tahun ini.
“Dengan pencapaian ini, saya dan barisan EXCO kerajaan negeri bersetuju menaikkan insentif program Pahang Pride Kid kepada RM300 tahun depan berbanding RM200 tahun ini,” katanya.
Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Dato’ Sri Ishak Muhamad; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, pemberian insentif berkenaan masih lagi dalam dua jenis pemberian iaitu wang tunai dan barangan keperluan bayi.
“Kita belum putuskan berapa banyak jumlah tunai yang akan diberikan tetapi mungkin RM200 dan RM100 lagi untuk barangan bayi kerana dengan jumlah RM100 itu dah banyak barang boleh dibeli.
“Yang penting, saya harap program ini dapat menggalakkan kadar kelahiran bayi di Pahang yang masih rendah iaitu sekitar 25,000 orang sahaja setahun,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Bank Rakyat yang menyumbang RM250,000 bagi pembelian anak-anak pokok hutan untuk program itu.
“Setiap kelahiran bayi Pahang Pride Kid, kita akan tanam satu pokok dan nama bayi berkenaan akan turut diletakkan bersama,” katanya.
Program Pahang Pride Kid 2022 diumumkan Wan Rosdy ketika membentangkan Belanjawan 2022 Pahang di DUN Pahang pada Disember tahun lalu.
Ia membabitkan pemberian secara ‘one-off’ kepada semua bayi yang lahir tahun ini dengan syarat warga Malaysia yang lahir di Pahang. – HELMY ABD RAHMAN