LIPIS: Pahang menerima peruntukan sekurang-kurangnya RM43 juta bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Rumah Kasih Keluarga Malaysia (RKKM) khas untuk mangsa banjir dan yang terkesan dengan banjir di negeri ini.
Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, kualiti rumah tiga bilik tidur PPRT yang dibina adalah mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak KPLB.
Katanya, KPLB memperuntukkan RM361 juta untuk rumah PPRT di seluruh negara, termasuk RM178 juta bagi membina 2,503 rumah baharu manakala baki RM182 juta dikhaskan untuk membaiki 11,453 rumah.
Katanya, KPLB bersedia untuk mengkaji semula kos bina baharu dan baik pulih rumah PPRT jika keadaan memerlukan kementerian itu melakukan sedemikian.
“Kita dapati kos pembinaan semakin bertambah berikutan didorong pelbagai faktor seperti kos pengeluaran bahan oleh pengilang, kos import bahan binaan dan kadar upah bagi pekerja pembinaan.
”Ketika ini, KPLB sedang melakukan libat urus dengan pelbagai agensi untuk mendapatkan cadangan sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri, ” katanya ketika hadir pada Program Penyerahan Kunci Rumah kepada mangsa kebakaran di Kampung Peruang dan penerima PPRT di Kampung Ulu Teris. – MUHAMMAD NAJMIE