RM5,000 untuk kanak-kanak RKK SHK

RM5,000 untuk kanak-kanak RKK SHK

KUANTAN: Agrobank Wilayah Pahang mengagihkan zakat perniagaan RM5,000 buat 50 penghuni Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom (RKK SHK), di sini.

Pengarahnya Safarudin Samsudin berkata, ini kali pertama pihaknya memberi zakat perniagaan kepada kanak-kanak berkenaan yang kini memiliki akaun simpanan dengan Agrobank Wilayah Pahang.

Katanya, 50 kanak-kanak yang menetap RKK SHK antara golongan yang layak menerima zakat daripada pihaknya untuk kegunaan mereka.

“Pemberian zakat kepada kanak-kanak di RKK SHK antara kerjasama Agrobank Wilayah Pahang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.

“Kita turut memberi zakat  kepada penghuni kompleks asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Kampung Soi,” katanya selepas majlis penyerahan zakat perniagaan di RKK SHK, semalam.

Turut sama Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin dan pengetua RKK SHK, Rohana Sulaiman.

Beliau berkata, pemberian zakat kepada kanak-kanak RKK SHK diharap dapat menggembirakan mereka  yang memerlukan pembelaan daripada pelbagai pihak. – MOHD IMRAN IZZAD