KUANTAN: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM61 juta kepada golongan murabbi ummah termasuk kos membaik pulih rumah dan masjid yang terkesan akibat musibah banjir tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, RM60.4 juta diperuntukkan untuk imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA.
Katanya, RM561,000 pula bagi membaik pulih 42 masjid dan 45 surau di 11 daerah di Pahang yang terkesan banjir.
“Semoga dengan bantuan ini sedikit sebanyak akan mengurangkan bebanan kos dan proses membina serta membaik pulih rumah, masjid dan surau akan dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Idris berkata demikian pada Multaqa Murabbi Ummah (MMU) peringkat Pahang, di sini, hari ini.
Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, kerajaan negeri berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang memberikan peruntukan berkenaan.
“Dengan peruntukan ini, kita dapat laksanakan sebaiknya dalam membantu golongan murabbi ummah dan membaiki rumah, masjid, surau yang terjejas banjir,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN