RM65.25 juta tangani isu bekalan air di Pekan

RM65.25 juta tangani isu bekalan air di Pekan

KUANTAN: Sejumlah RM65.25 juta diperuntukkan untuk menyelesaikan isu bekalan air di Pekan.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kawasan yang menjadi tumpuan khususnya di Peramu Jaya, Bebar, Pulau Manis dan Chini.

Katanya, kos keseluruhan RM65.25 juta itu diputuskan dalam mesyuarat bersama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) di Pekan, semalam.

“Fokus utama mesyuarat ialah memutuskan langkah penambahbaikan bekalan air di kawasan Pekan melalui pelaksanaan projek yang memberi impak segera dan menyeluruh demi manfaat rakyat,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak, Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Zaliza Zulkipli dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PAIP, Saiful Zaini Mohd Bokhari.

“InsyaAllah, selepas ini saya akan meneruskan siri jelajah ke beberapa daerah lagi bagi memastikan rakyat Pahang mendapat bekalan air yang baik dan sempurna.

“Ia selari dengan janji saya untuk turun padang bagi bertemu kepegawaian PAIP daerah bagi menyelesaikan isu berkaitan bekalan air yang membelenggu masyarakat,” kata Wan Rosdy. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN