Oleh Izzah Yusoff
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar Izzah Yusoff
Mana tidaknya, kedua-dua mereka tangkas mengendalikan busur panah sehingga masing-masing dinobatkan juara dalam kategori berbeza disertai mereka pada pertandingan memanah anjuran Kelab AMK Archery dan berlangsung di Pusat Equestrian, Jalan Tanjung Lumpur, di sini, hari ini.
Amsyar Rifqi Mohd NorHisyam, 6, mengungguli kategori bawah enam tahun (pemula) dan abangnya, Amzar Haqimie pula kategori bawah 12 tahun.
Melihatkan fizikal Amsyar Rifqi tidak ramai menyangka dia mampu mengungguli pertandingan memanah yang disertai, seolah-olah jaguh Olimpik.
Namun, kebolehan itu bukanlah diperoleh dalam masa singkat, sebaliknya hasil usaha keras menjalani latihan sejak tiga tahun lalu.
“Saya memang sukakan sukan memanah sejak kecil dan mula berjinak-jinak dengan sukan itu sejak berusia tiga tahun. Saya sering berlatih… dalam seminggu tiga kali menjalani latihan selama dua jam bagi setiap sesi.
“Buat masa ini memanah hanyalah hobi dan saya minat sukan ini pun disebabkan abang,” katanya ketika ditemui Fikrah Pahang selepas menerima hadiah kemenangan.
Bagi pemenang kategori bawah lapan tahun (pemula), Abdul Rauf Hafi Ahmad Ridhuan, 7, dia mula meminati sukan memanah ketika berusia empat tahun selepas dapat tahu ia antara sunah Rasulullah.
Seramai 56 peserta berusia antara empat hingga 18 tahun menyertai pertandingan memanah hari ini.
Sementara itu, Presiden Sukan Memanah Pahang, Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad berkata, pertandingan anjuran kelab AMK itu satu usaha untuk mencungkil bakat baru bagi mencari pemanah pelapis bagi mewakili Pahang dalam sukan memanah di kejohanan besar, contohnya Sukan Malaysia (SUKMA) pada masa akan datang.
“Saya mengharapkan dengan kelab AMK ini kita dapat mencungkil lebih banyak lagi bakat dan kita akan mencari yang terbaik dan berpotensi untuk bermain ke peringkat SUKMA.
“Saya mahukan lebih ramai lagi anak Pahang bermain untuk negara berbanding sekarang ini hanya seorang sahaja wakil,” katanya.