ROS benar UMNO adakan pemilihan parti selepas PRU-15

ROS benar UMNO adakan pemilihan parti selepas PRU-15

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO berkaitan pemilihan UMNO di semua peringkat dilangsungkan tidak lebih enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kelulusan itu berkuat kuasa pada 29 Julai lalu (Jumaat).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan

Katanya, ia bermakna pemilihan UMNO untuk penggal ini hanya akan dibuat tidak lewat daripada enam bulan selepas PRU ke-15 (PRU-15) diadakan.

“Adalah dimaklumkan bahawa saya telah menerima surat daripada Pendaftar, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM/ROS) pada petang Jumaat 29 Julai 2022.

“Sukacita dimaklumkan bahawa ROS telah meluluskan dengan sedikit pindaan kepada permohonan berkaitan Perlembagaan UMNO.

“Bagi pihak UMNO, saya ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada ROS dan semua pihak yang terbabit meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. – HELMY ABD RAHMAN