Roselle anak Pahang terkenal sampai ke Australia

Roselle anak Pahang terkenal sampai ke Australia

ROMPIN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membantu memasarkan kira-kira sepuluh tan buah roselle yang diusahakan oleh 46 pekebun terdiri peserta ladang kontrak di dua kawasan di daerah ini, sepanjang tahun ini. 

Pengarah Fama Pahang, Saiful Sadri berkata, selain untuk bekalan pusat memproses makanan Fama di Rengit, Johor, roselle keluaran pekebun Kampung Desa Murni dan Kampung Tebu Hitam turut dieksport ke Australia.

Menurutnya, roselle keluaran Rompin begitu terkenal dengan kualitinya sehinggakan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

“Kita akan terus berusaha membantu pekebun dalam memastikan mereka terus mengusahakan roselle selain beberapa tanaman kontan lain seperti keledek, kacang tanah dan jagung,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika mengiringi lawatan Pengarah Kanan Fama, Abd Rahman Mahmood ke Pusat Pengumpulan Ladang Kampung Desa Murni, di sini, semalam.

“Dua tahun lalu lebih 24 tan roselle dihasilkan pekebun di daerah ini. Tapi jumlah itu berkurangan kepada 10.5 tan tahun ini. Penurunan hasil keluaran disebabkan PKP.

“Saya yakin keluaran roselle daerah ini akan bertambah bagi memenuhi permintaan tempatan dan antarabangsa,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD