Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Impian kerani meraih pendapatan sampingan hasil kerja sambilan sebagai ejen aplikasi e-dagang tidak kesampaian dan sehinggakan dirinya terpaksa menanggung kerugian RM31,000 apabila ditipu.
Wanita berusia 23 tahun itu dikatakan pada awalnya tertarik dengan iklan kerja sambilan yang diiklankan di Facebook, Selasa lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa kemudian menghubungi syarikat itu dan membuka akaun e-dagang melalui pautan yang diberikan.
Menurutnya, mangsa kemudiannya mula melaksanakan tugasnya di mana dia hanya ditugaskan untuk menaikkan rating barangan dalam aplikasi yang disediakan.
“Mangsa dijanjikan komisyen. Bagi mendapatkan lebih banyak tugasan yang akan memberi upah lebih tinggi, mangsa perlu menambah wang ke dalam akaun aplikasi itu,” katanya melalui satu kenyataan media semalam.
Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian mendakwa melakukan lapan transaksi berjumlah RM31,000 iaitu memindahkan wang ke dua akaun bank atas nama individu berbeza.
“Mangsa syak dia ditipu apabila wang yang dimasukkan dalam aplikasi itu tidak dapat digunakan. Hasil semakan ke atas nombor telefon dan akaun yang digunakan mendapati kedua-duanya bermasalah,” katanya.
Oleh itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Mentakab, kelmarin.