RTP online
Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
PEKAN: Ramadan kali ini lebih bererti buat warga emas, Patimah Kundur, 83, apabila menerima rumah baharu bagi menggantikan rumahnya yang musnah terbakar Januari lalu.
Rumah bernilai RM65,000 terletak di Kampung Pekan Lama, di sini, disumbangkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP) dengan sokongan beberapa agensi lain.
“Saya bersyukur dan hanya mampu mengucapkan terima kasih pada MUIP yang menyediakan rumah baharu untuk saya berteduh, pemberian paling bererti dan bermakna.
“Ramadan kali ini begitu manis buat saya apabila menerima rumah baharu. Saya seakan-akan bermimpi apabila menerima pemberian ini,” katanya ditemui, di sini semalam.
Patimah berkata, dia kini tinggal bersama anaknya yang membantu menguruskan dirinya yang tidak mampu untuk berjalan. Dia kini bergerak menggunakan kerusi roda.
Sementara itu, Pengurus MUIP Cawangan Pekan, Muhammad Hafidz Abdul Halim berkata, rumah Patimah musnah dalam
kejadian kebakaran pada 27 Januari lalu menyebabkan mereka sekeluarga kehilangan tempat berteduh.
Katanya, MUIP meluluskan peruntukan sebanyak RM65,000 untuk membina rumah baharu kepada warga emas berkenaan yang turut mengalami masalah penglihatan.
“Rumah baharu yang disediakan diharap dapat memberi lebih keselesaan kepada Patimah serta anak yang menjaganya,” katanya.
Tamat/pm